Minggu, 02 Januari 2011

Asal mula dan perkembangan Qiraah ‘Ashim riwayah Hafs Asal mula dan perkembangan Qiraah ‘Ashim riwayah Hafs

Asal mula dan perkembangan Qiraah ‘Ashim riwayah Hafs
Asal mula dan perkembangan Qiraah ‘Ashim riwayah Hafs




Oleh jamul hidayat



Kita mungkin pernah melihat rancangan Akademi al-Quran di TV9 yang menampilkan para Qari mengumandangkan ayat-ayat suci al-Quran dengan pelbagai bacaan Imam-iman Qiraah seperti Imam al Susy, Imam Qalun, Imam Qanbul, dan sebagainya. Sebahagian besar daripada kita mungkin tertanya-tanya apabila mendengar bacaan-bacaan itu kerana apa yang mereka kumandangkan dalam membaca al-Quran (yang juga dikenali sebagai Qiraah Sab’ah) tidak sama dengan apa yang biasa kita baca.



Kehairanan itu wajar sahaja muncul di benak kita kerana perbezaan bacaan di dalam ayat-ayat tertentu sangat mencolok sama ada perbezaan daripada segi huruf, tanda baca mahupun sifat huruf. Bagi kalangan orang awam, perkara ini boleh jadi akan menimbulkan kekeliruan yang berimplikasi kepada munculnya keraguan terhadap bacaan yang selama ini diamalkan.



Akan tetapi tahukah anda bahawa ketika kita membaca al-Quran hari ini, kita mengikut bacaan (qiraah) ‘Ashim riwayah Hafs? Mengapa kita tidak membaca riwayah Warsh sebagaimana yang kebanyakan diamalkan di negara-negara Afrika? Mengapa bacaan riwayah Hafs diamalkan di kawasan Nusantara yang meliputi Malaysia dan Indonesia? Tulisan ringkas ini cuba untuk merungkai sedikit fakta sejarah tentang asal mula ilmu qiraah sejak pada era para sahabat sehingga qiraah riwayah Hafs digunapakai di kepulauan Nusantara. Ia juga sedikit menghubungkaitkannya dengan bacaan-bacaan (riwayah) yang lain dan sejauh mana kepentingan kita untuk mengetahui ilmu qiraah.



Definisi Qiraah



Secara bahasa, qiraah bermakna beberapa bacaan. Ia merupakan bentuk plural daripada mashdar fi’il qaraa. Qiraah secara definisinya adalah suatu disiplin ilmu yang mempelajari cara melafazkan ayat-ayat al-Quran dan wujudnya perbezaan cara membacanya yang disandarkan daripada perawi yang bersumber daripada Rasulullah s.a.w. Mengikut ulama al-Quran pada zaman klasik seperti Al-Shabuni, qiraah adalah salah satu mazhab (aliran) daripada beberapa mazhab qiraah dalam cara membaca al-Quran. Mazhab ini dipilih oleh salah seorang Imam Qiraah yang berbeza dengan mazhab qiraah yang lain, serta disandarkan kepada sanad yang bersambung kepada Rasulullah.



Sementara bagi ulama yang lain seperti Manna’ Al Qaththan berpandangan bahawa ilmu qiraah tidak hanya sebagai suatu disiplin ilmu, namun ia juga menjadi satu tariqah (aliran) mazhab tertentu. Secara sederhana, al-Zarkashi mentakrif Qiraah sebagai ilmu yang mempelajari perbezaan beberapa lafaz ayat al-Quran daripada segi penulisan huruf mahupun cara bacanya baik secara takhfif (membaca tanpa tasydid atau syiddah), tathqil (membaca dengan syiddah) dan lain sebagainya.



Sejarah dan Perkembangan Ilmu Qiraah



Wujudnya perbezaan cara membaca al-Quran tidak lari daripada sejarah perkembangan Qiraah sebagai satu mazhab ilmu membaca al-Quran semenjak zaman Rasulullah lagi. Ia dikatakan berpunca daripada satu hadis Nabi yang menyebutkan perkataan sab’ah ahruf (tujuh huruf) ketika Malaikat Jibril memerintahkan Nabi Muhammad membaca al-Quran. Terdapat pelbagai tafsiran tentang makna sab’ah ahruf. Namun demikian, jumhur ulama berpendapat maksud sabah ahruf merujuk kepada pelbagai macam bahasa dan bacaanal-Quran, pelbagai lafaz yang memiliki makna yang hampir sama dan terakhir tafsiran sab’ah ahruf adalah tujuh macam bahasa etnik bangsa Arab.



Munculnya qiraah sab’ah yang kita kenali sekarang ini merupakan manifestasi daripada penafsiran sab’ah ahruf itu. Bagaimanapun, di antara kedua-dua istilah itu mempunyai pengertian dan konsep yang berbeza, meskipun wujud persepsi di kalangan masyarakat bahawa keduanya memiliki maksud yang sama. Qiraah sab’ah bermaksud tujuh mazhab qiraah yang diriwayatkan oleh tujuh Imam qiraah. Sedangkan sab’ah ahruf adalah satu konsep yang menjadi petunjuk kepada terbentuknya beberapa disiplin ilmu al-Quran termasuklah qiraah sab’ah.



Pada asasnya, bacaan al-Quran yang pelbagai ini sudah wujud sejak zaman Nabi sendiri. Hal ini kerana bangsa Arab mempunyai berbagai macam dialek dan gaya penuturan yang berbeza di antara kaum dan kabilah-kabilah Tanah Arab yang sememangnya luas wilayahnya. Ketika para jurutulis Nabi menulis ayat-ayat al-Quran di atas kulit binatang, batu, batang pokok kurma, tulang binatang dan sebagainya, Nabi memerintahkan para sahabat menulis dengan bermacam bentuk bacaan sebagaimana yang diisyaratkan dalam sab’ah ahruf itu.



Selain itu, huruf Arab pada peringkat awal Islam, tidak ada titik dan barisnya sehingga tidak dapat dielakkan lagi berlakunya perbezaan bacaan di kalangan para sahabat yang tinggal di kawasan yang jauh dengan Madinah. Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, ketika kekuasaan Islam semakin luas dan membentang hingga ke kawasan di luar Arab, berlaku perselisihan dan saling menyalahkan di antara para sahabat tentang qiraah al-Quran, yang mana masing-masing pihak mendakwa bacaannya yang paling sahih dan yang paling benar.



Melihat keadaan yang boleh mengancam persatuan dan keharmonian umat Islam itu, maka Khalifah Uthman memerintahkan para sahabat untuk menyusun dan membuat mushaf al-Quran. Penyusunan al-Quran yang dikenali juga dengan Mushaf Uthmani ini salah satu al-Quran bagi umat Islam yang semakin besar jumlah dan semakin luas wilayah kekuasaan Islam. Ia juga mengelakkan berlakunya perpecahan umat yang disebabkan kepelbagaian jenis bacaan dan tulisan al-Quran yang sudah biasa dibaca selama ini.



Bagaimanapun, Qiraah menjadi satu disiplin ilmu baru bermula dan berkembang semasa zaman tabiin iaitu pada abad ke-2 H. Pada kurun ini lahir beberapa Imam Qiraah yang datang dari beberapa kawasan pusat ilmu dan peradaban seperti Imam Nafi’ dari Madinah, Abu ‘Amr dari Basrah (sekarang Iraq), Ali Kisa’i dan Hamzah dari Kufah (Irak), Ibn ‘Amir dari Syam (Syria), Ibn Kathir dari Mekah dan lain sebagainya.



Syekh atau guru qiraah pada zaman ini boleh dikatakan mencapai zaman kemuncaknya dengan ramainya imam qiraah yang muncul dan suasana ketika itu ramai dengan pelajar yang menuntut ilmu qiraah. Walau bagaimanapun, qiraah sab’ah baru dikenali seperti sekarang bermula pada abad ke-3 H dengan munculnya seorang ulama qiraah bernama Ibn Mujahid. Beliau menerusi satu karyanya tentang ilmu qiraah mencadangkan supaya Imam qiraah yang mencecah puluhan orang dibatasi hanya menjadi tujuh mazhab qiraah sahaja. Alasan untuk membatasi jumlah qiraah itu adalah untuk mengurangkan jumlah imam qiraah dan para perawinya yang terlampau ramai sehingga dikhuatirkan umat akan mengalami kekeliruan dalam membaca al-Quran.



Selain itu, alasan pembatasan kepada tujuh Imam qiraah sahaja juga berdasarkan kepada fakta bahawa jumlah salinan al-Quran yang dibuat pada masa Khalifah Uthman sebanyak tujuh salinan. Simbolisasi angka tujuh dipakai dalam membatasi Imam Qiraah juga berdasarkan kepada justifikasi teks agama yang mana Allah menurunkan al-Quran melalui Malaikat JIbril dengan tujuh huruf. Bermula pada masa itu, qiraah sab’ah menjadi satu disiplin ilmu tersendiri dalam mempelajari teknik membaca al-Quran selain ilmu tajwid yang sudah sedia ada.



Daripada sinilah perkembangan ilmu qiraah yang memunculkan mazhab qiraah sab’ah bertapak dan berkembang hingga ke hari ini seperti yang kita kenali sekarang ini. Namun sayangnya, masyarakat Islam tidak begitu mesra atau mengenali qiraah sab’ah. Meskipun memiliki persamaan daripada segi sebagai satu seni ilmu dalam mempelajari bacaan al-Quran, namun ilmu tajwid lebih popular dipelajari umat Islam. Maka tidak menghairankan kalau dewasa ini mazhab qiraah sab’ah yang masih bertahan dibaca oleh kaum Islam tinggal tiga Imam Qiraah sahaja, manakala yang lain tidak diamalkan lagi. Ini bermakna hanya terdapat tiga komuniti masyarakat Islam yang membaca mengikut tiga Qiraah yang mutawatir dengan qiraah ‘Ashim riwayah Hafs sebagai qiraah komuniti Islam terbesar di dunia.



Qiraah ‘Ashim Riwayah Hafs dan Sejarah Penyebarannya



Qiraah ‘Ashim merupakan salah satu daripada tujuh mazhab qiraah sab’ah. Aliran qiraah ini merupakan qiraah yang biasa dibaca oleh penduduk di kepulauan Nusantara dan juga dibaca majoriti umat Islam di dunia. Nama lengkap Imam ‘Ashim adalah Abu Bakar ‘Ashim bin Bahzalah al-Asadi al-Kufi. Imam ‘Ashim merupakan imam yang dihormati di kalangan ulama qiraah yang lain kerana kepakarannya dalam bidang qiraaah al-Quran. Beliau merupakan orang yang tekun dalam melaksanakan ibadah, memiliki etika yang terpuji dan mempunyai suara yang indah.



Beliau memiliki dua perawi (orang atau murid yang meriwayatkan qiraah) iaitu Abu Bakar Syu’bah bin Salim al-Hannath al-Asadi al-Nahsyali al-Kufi, lebih popular dengan sebutan Syu’bah dan Abu ‘Umar Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi al-Kufi. Bagaimanapun, daripada kedua-dua perawi itu, hanya riwayat atau bacaan Hafs sahaja yang digunakan umat Islam ketika ini.



Dalam konteks mengapa penduduk di kepulauan Nusantara menganut aliran Qiraah riwayat Hafs, ini berkait rapat dengan sejarah penyebaran Islam di kawasan ini oleh para pendakwah-pendakwah yang dikatakan berasal dari pelbagai kawasan seperti India, Persia dan Tanah Arab. Menurut catatan sejarah masuknya Islam ke kawasan ini, para pendakwah yang juga melakukan perniagaan berasal dari kawasan Persia. Memandangkan bahawa faktor geografi Kufah yang berhampiran dengan kawasan Persia, maka ia menjadi satu hipotesis masuknya qiraah ‘Ashim riwayah Hafs ke Nusantara bersama-sama dengan masuknya pendakwah tersebut. Imam ‘Ashim sendiri berasal dari Kufah Irak yang merupakan bandar ilmu dan peradaban ketika itu.



Maka sangat logik kalau kemudian para pendakwah itu di dalam menyebarkan agama Islam turut mengajarkan al-Quran mengikut qiraah ‘Ashim yang sememangnya menjadi aliran yang dominan di masyarakat Kufah ketika itu. Ini diperkukuh lagi dengan fakta bahawa mazhab qiraah yang berkembang di Iran (Persia) sekarang mengikut riwayah Hafs. Oleh kerana penyebaran Islam di kawasan Nusantara disebarkan oleh para pendakwah-pendakwah yang berasal dari kawasan Parsi, maka dengan sendirinya sistem bacaan al-Quran yang digunakan adalah mengikut qiraah ‘Ashim riwayah Hafs. Oleh kerana itu, hari ini kita mengenali satu cara pengajaran dan pelajaran membaca al-Quran dengan menggunakan qaidah baghdadiyah iaitu satu kaedah yang berpandukan kepada cara orang Baghdad (Kufah) dalam mempelajari al-Quran.



Daripada premis itu kemudian Qiraah ‘Ashim riwayah Hafs berkembang dan dibaca di kepulauan Nusantara sehingga ke hari ini. Tentunya dengan memahami latar belakang dan asal mula munculnya ilmu qiraah ini, pengetahuan kita terbuka kepada satu keadaan di mana ketika kita membaca al-Quran, Imam ‘Ashim riwayah Hafs yang selama ini kita amalkan bukanlah satu-satunya qiraah yang diamalkan umat Islam. Apatah lagi mempunyai pemikiran dengan menyalahkan dan menganggap qiraah mazhab lain salah.



Dengan begitu, ketika kita mendengar orang lain membaca al-Quran dengan qiraah yang asing atau pelik di telinga, maka kita tahu bahawa orang itu membaca dengan qiraah selain riwayah Hafs. Hakikatnya, dengan mengenali dan mempelajari ilmu qiraah, tercipta di dalam minda kita satu pemikiran yang menerima kepelbagaian amalan dan tradisi yang berbeza dengan kita. Ini bermakna ilmu qiraah turut menyumbang satu pemahaman tentang pluraliti kehidupan termasuk bagaimana kita juga bersikap terbuka terhadap kepelbagaian keyakinan, agama, bangsa, bahasa, budaya kaum dan lain sebagainya kerana sememangnya itu adalah sunnatullah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar